Demonstrasi penyediaan bongkah cendawan berasaskan tandan buah kosong sawit oleh Dr. Rakib

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat (JAKMAS), Kolej Kediaman Lestari Sandakan (KKLS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama penduduk kampung dan pelajar Maahad Dar Al-Hijrah Sandakan di Masjid An-Nur Kampung Sentosa, Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para peserta mengenai pelbagai peluang dalam bidang perusahaan seperti penanaman cendawan tiram kelabu, halia kampung secara fertigasi dan pembuatan vermikompos secara komersial.

Selain itu, penganjuran program tersebut memberi peluang kepada badan kepimpinan JAKMAS untuk menimba ilmu serta pengalaman dalam melaksanakan aktiviti di luar kampus dan berinteraksi dengan masyarakat, khususnya di sekitar Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS Sandakan.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengetua KKLS yang juga pensyarah FPL, Borhan Abdul Haya @ Yahya.

Menurut Borhan, program yang disertai 67 peserta itu adalah langkah penting dalam memajukan ekonomi komuniti setempat melalui bidang pertanian yang berpotensi tinggi.

“Pelaksanaan program seperti ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk kampung dalam bidang perusahaan, yang seterusnya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memupuk semangat keusahawanan dan mendorong penduduk untuk memanfaatkan sumber daya tempatan secara lebih berkesan,” katanya.

Tambah Borhan, kolaborasi antara universiti dan komuniti mampu memberikan manfaat jangka panjang dalam pembangunan masyarakat.

“Program ini turut membantu mengurangkan jurang antara ilmu akademik dan aplikasi praktikal di lapangan.

“Dengan kerjasama yang berterusan, kita dapat memastikan kesinambungan usaha ini demi kemajuan bersama,” katanya.

Seramai tiga pensyarah UMS dijemput sebagai penceramah jemputan iaitu Ts. Dr. Mohd Rakib Mohd Rahid, Dr. Muhamad Askari dan Dr. Mohamad Asrol Kalam.

Turut hadir, Pengerusi Biro Agama UMNO Libaran, Hj. Amsain Jausin; Ketua Kampung Sungai Batang, Hj. Shaffa Majid dan Guru Maahad Dar Al-Hijrah Sandakan, Tajudin Yosep Beda.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here