KUALA LUMPUR – Wanita warga emas, Lim Foong Mei yang menjadi mangsa ragut di Bangsar pada 7 Oktober lalu disahkan meninggal dunia akibat pneumonia (radang paru-paru) pada Isnin lalu.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Datuk Ayob dan memaklumkan kes ragut itu dirujuk semula kepada pihak Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini punca kematian disebabkan pneumonia namun kita tunggu arahan lanjut dari Pejabat Peguam Negara,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyemak semula kes ragut melibatkan wanita warga emas itu di Bangsar selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, cadangan terhadap sebarang perubahan dalam pertuduhan dihadapi suspek, M Thanabalan,38, akan dibuat bergantung kepada hasil semakan nanti.
“Suspek telah ditangkap dan dituduh di mahkamah, mangsa (warga emas) telah dibenarkan keluar dari hospital dan siasatan lanjut akan dibuat berhubung punca kematiannya sama ada ia berkaitan dengan kecederaan semasa kejadian ragut,” katanya dalam kenyataan.
Pada 7 Oktober lalu, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya kira-kira pukul 6.30 petang.
Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak bergerak di atas jalan sebelum didatangi orang awam yang kemudian membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan akibat pendarahan di kepala. – MalaysiaGazette