KUANTAN – Bekas peragawati, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40 atau Zahnita hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang hari ini bagi sebutan semula kes hak penjagaan ke atas empat anaknya.
Beliau tiba kira-kira jam 8.15 pagi mengenakan busana berwarna biru gelap diiringi peguamnya, manakala suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47 pula tiba kira-kira 15 minit kemudian.
Terdahulu, pada 6 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Syariah Pahang membenarkan hak jagaan sementara ex parte diberikan kepada Zahnita selepas beliau memohon kepada mahkamah mendapatkan jagaan anak-anaknya.
Perintah tersebut membenarkan responden iaitu bapa, diberikan hak untuk melawat anak-anak tersebut dengan pengawasan pemohon atau ahli keluarga pemohon secara bersama di tempat terbuka seperti taman permainan atau taman rekreasi atau di mana-mana kawasan yang bersesuaian dengan pemohon atau ahli keluarga.
Responden juga diberikan ruang dua kali sebulan sama ada pada hari Sabtu atau Ahad bermula pukul 4 hingga 6 petang pada hari yang sama dengan makluman secara bertulis sebelum 48 jam lawatan.
Sementara itu, Zahnita yang kelihatan ceria ketika ditemui selepas prosiding tersebut berkata, segalanya berjalan lancar mengikut perancangan.
“Tengok sahajalah apa yang akan berlaku selepas ini. Saya cuma berharap agar semuanya berjalan lancar sahaja. Tak nak sebarang halangan atau pergaduhan. Hanya keamanan dan kegembiraan,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Zahnita kena jalani ujian urin sebelum dibenarkan ambil anak
Zahnita lega mahkamah keluar perintah perlindungan jarak 50 meter