KUALA LUMPUR – Ahli UMNO yang palsu ada bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, parti Bersatu adalah tempat bergayut ‘katak’ UMNO.
“… dari Presiden hinggalah ke Setiausaha Agung. Termasuk Tun Faisal,” katanya.
Puad menjawab kenyataan Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa UMNO sekarang berbahagi kepada dua, satu kumpulan UMNO asal dan kedua UMDAP atau UMNO pro-Zahid.
Ketua Penerangan Bersatu itu dalam kenyataanya berkata, yang mempunyai kesungguhan untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak dan mendapatkan tahanan rumah untuk bekas Presiden UMNO itu adalah UMNO ori.
Manakala UMDAP atau UMNO Pro-Zahid tidak bersungguh-sungguh untuk membebaskan Najib dan tidak berusaha mendapatkan titah addendum Yang di-Pertuan Agong untuk ditunjukkan kepada mahkamah.
Tun Faisal membuat kenyataan itu selepas UMNO berpendirian untuk tidak meneruskan himpunan solidariti bagi menyokong Najib bagi menghormati titah terbaharu Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Puad berkata, Bersatu cuba ganti UMNO dengan menggunakan slogan Bersatu, tiru warna biru Barisan Nasional dan juga warna merah UMNO.
“Sıfat parti tiruan dan tidak ori ini ialah mereka engkar nasihat Raja- Raja Melayu, tolak kerajaan perpaduan, memfitnah Yang di-Pertuan Agong ke-16 kononnya mereka cukup bilangan 115 kerusi.
“Paling ketara PN cuba meneruskan darurat semasa Perintah Kawalan Pergerakan walaupun Majlis Raja-Raja Melayu menolak.
Jika PASBER (Pas dan Bersatu) terus berhimpun Isnin ini sudah tentu pidato mereka hanya mengutuk UMNO bukan membela Najib. Mereka degil dan tidak dengar nasihat,” katanya. – MalaysiaGazette