Dr. Mohd Foad Sakdan (tengah) bersama warga kampus membaca Yasin pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena Tahun Baharu 2025.

SINTOK – Universiti Utara Malaysia mengisi ambang tahun baharu dengan bacaan yasin dan aktiviti kerohanian yang menarik ramai jemaah membanjiri Masjid Sultan Badlishah apabila malam itu juga bersempena kedatangan bulan Rejab.

Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena Tahun Baharu 2025 anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UUM) bukan sekadar sebuah acara, malah satu doa yang membawa aspirasi besar agar tahun yang baru ini dipenuhi keberkatan, rahmat dan kebahagiaan yang melimpah ruah.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, majlis ini adalah wadah untuk  bermuhasabah diri, mengeratkan ukhuwah, memperkukuh azam dan ruang untuk merancang masa hadapan yang lebih baik dari tahun sebelumnya. 

“Dalam menghadapi tahun 2025, marilah kita bersama-sama mengorak langkah dengan azam dan semangat baru. Kita berdoa agar setiap usaha yang kita rancang dan laksanakan diberkati Allah.

“Tanamkan azam, untuk terus mengamalkan budaya kerja dan budaya ilmu yang ikhlas, amanah dan profesional. Kita berpegang kepada prinsip bahawa ilmu yang kita kembangkan di sini adalah untuk manfaat seluruh masyarakat dan negara.

“Marilah kita mertabatkan slogan UUM Ilmu, Budi, Bakti agar terus kekal relevan, kerana kitaran ilmu yang dituntut dan diajar akan membentuk budi yang baik, seterusnya memberi ruang untuk kita berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berharap tahun 2025 membawa lebih banyak kejayaan dan kesejahteraan kepada kita semua, dan universiti ini terus menjadi institusi yang cemerlang dan disegani di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Sementara itu, Yang Dipertua MPP UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, tahun baru adalah peluang untuk kita berubah menjadi lebih baik, mendekatkan diri kepada Allah dan diberi kekuatan untuk menghadapi apa jua cabaran yang datang.

“Apa yang berlaku pada tahun 2024 kita boleh ambil sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri dan mana yang buruk kita tinggalkan.

“Kami membawa aspirasi untuk membangunkan mahasiswa melalui teras insaniah yang memerlukan kebersamaan.

“Kita bukan sahaja fokus kepada akademik malah membangunkan mahasiswa yang hebat dari segi kepimpinan misalnya menyuarakan pandangan, mempunyai matlamat yang jelas jadi saya menyeri mahasiswa untuk bangkit menuju kejayaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here