Parti Amanah Negara

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Selangor menolak tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh PAS terhadap DAP, mendakwa parti itu mengancam Islam dan berusaha menyebarkan agama Kristian di Malaysia.

Menurut Ketua Biro Hal Ehwal Syariah Amanah Selangor, Muzammil Hafiz, Pas sengaja melemparkan tuduhan seumpama itu bagi mengapi-apikan sentimen agama demi kepentingan politik sempit, sekali gus merosakkan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dakwa Muzammil, tuduhan Pas ini bukan sahaja ditujukan kepada DAP sebaliknya turut menyasarkan seluruh parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

“PAS sepatutnya mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW yang adil terhadap semua, termasuk mereka yang bukan Islam. Dalam menerima sebarang berita, PAS perlu bersikap tabayyun dengan menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Malaysia menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi, namun prinsip kebebasan beragama dijamin dan mesti dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Muzammil lagi, sepatutnya semua pihak perlu bersama-sama memelihara keharmonian agama di Malaysia, selaras dengan konsep ‘Truly Asia’ yang meraikan kepelbagaian budaya dan agama.

“Sebarang dakwaan bahawa wujud usaha untuk berdakwah kepada umat Islam oleh mana-mana pihak dalam kerajaan, termasuk DAP, adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” tegasnya.

Beliau turut menekankan komitmen mereka untuk memastikan nilai Islam yang ‘rahmatan lil alamin’ menjadi asas kepada pentadbiran negara yang adil, inklusif, dan harmoni.

Dalam pada itu, Muzammil mengkritik tindakan seorang Menteri dalam kalangan DAP yang menganjurkan majlis nyanyian lagu-lagu Kristian di sebuah kementerian menyatakan langkah itu sepatutnya boleh dielakkan kerana berpotensi menimbulkan sensitiviti dalam kalangan rakyat berbilang agama.

“Kami menyeru DAP dan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kebimbangan atau salah faham di kalangan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here