KUALA LUMPUR – Gara-gara cemburu menjadi punca seorang buruh binaan warga Bangladesh bertindak kejam membunuh wanita warga Indonesia di sebuah hotel di Puchong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek utama berusia 23 tahun itu dicekup di Presint 20, Putrajaya pada jam 4.30 petang, semalam
Tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
“Kita telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.15 malam pada Selasa lalu dari seorang lelaki tempatan mengeai penemuaan wanita warga asing dipercayai tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
“Mangsa disyaki dibunuh di sebuah hotel di Puchong dan pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa adalah wanita Indonesia berusia 39 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek merupakan kenalan kepada mangsa dan mengaku telah membunuh wanita itu kerana cemburu.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata suspek telah direman sehingga Jumaat ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes masih diteruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan dimana-mana balai polis berhampira,” jelasnya. – MalaysiaGazette