Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka kekal berhati-hati minggu depan berikutan pelabur bersiap sedia untuk memulakan 2025 dengan pendekatan berhati-hati, selain tumpuan kepada Hari Pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada 20 Januari, kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ancaman perlindungan perdagangan boleh mencetuskan tempoh stagflasi, mencabar pertumbuhan ekonomi global dan mewujudkan risiko tertentu kepada pengeksport Asia.

Katanya walaupun sasaran utama langkah ini dilihat terhadap China, ekonomi jiran yang mempunyai hubungan eksport yang ketara dengan China, seperti Malaysia, mungkin akan merasakan impak awalnya.

“Ketegangan geopolitik ini boleh mengatasi prospek positif dari segi asas untuk pasaran dan ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun baharu, memberikan bayangan ketidaktentuan di rantau ini,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, 10 Januari akan menjadi hari yang sibuk untuk pasaran Malaysia dan AS.

Katanya bagi Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia dijadualkan mengeluarkan data mengenai statistik pembuatan, indeks pengeluaran perindustrian, statistik tenaga kerja serta perdagangan borong dan runcit bagi November.

“Petunjuk ini penting untuk mengemas kini unjuran ekonomi dan meneliti tinjauan pasaran,” katanya kepada Bernama.

Di AS, Mohd Sedek berkata data senarai gaji bukan ladang yang dikeluarkan akan diberi perhatian berikutan data ini dapat memberikan pandangan penting mengenai pasaran tenaga kerja dan boleh mempengaruhi pendirian Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS menjelang mesyuaratnya pada 28 hingga 29 Januari ini.

“Perkembangan ini penting dalam membentuk sentimen pasaran dan strategi pelaburan untuk minggu-minggu akan datang,” katanya.

Pada minggu dagangan yang singkat berikutan cuti umum, FBM KLCI meneruskan kenaikannya selama enam hari pada Selasa lepas dan mengakhiri 2024 dengan meningkat 4.65 mata kepada 1,642.33 daripada 1,637.68 pada Isnin.

Bursa tempatan ditutup pada Rabu sempena cuti Tahun Baharu.

Bagaimanapun, barometer pasaran memulakan tahun baharu dengan mencatatkan rendah berikutan aktiviti pengambilan untung dan sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau apabila pelabur kekal berhati-hati susulan petunjuk daripada Rizab Persekutuan AS bahawa jumlah penurunan kadar faedah akan berkurangan daripada yang dijangkakan tahun ini.

Selain itu, dasar pertumbuhan pentadbiran Donald Trump yang akan datang dijangka mendorong inflasi.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama meningkat 1.32 mata kepada 1,629.46 daripada 1,628.14 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas naik 51.89 mata kepada 12,533.64, Indeks FBMT 100 meningkat 37.72 mata kepada 12,202.89 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 57.40 mata kepada 12,546.49.

Indeks FBM 70 naik 161.66 mata kepada 18,867.33 dan Indeks FBM ACE menambah 122.39 mata kepada 5,472.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 18.90 mata kepada 19,023.06, Indeks Perladangan susut 4.50 mata kepada 7,598.51 dan Indeks Penjagaan Kesihatan berkurangan 16.92 mata kepada 2,362.03.

Indeks Teknologi merosot 0.37 mata kepada 64.81, Indeks Tenaga naik 26.65 mata kepada 851.30 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.22 mata kepada 174.45.

Jumlah dagangan naik kepada 11.30 bilion unit bernilai RM8.98 bilion daripada 9.72 bilion unit bernilai RM7.52 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 6.10 bilion unit bernilai RM8.05 bilion daripada 5.01 bilion unit bernilai RM6.71 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 3.28 bilion unit bernilai RM315.05 juta daripada 1.89 bilion unit bernilai RM243.54 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.91 bilion unit bernilai RM613.73 juta daripada 2.10 bilion unit bernilai RM565.86 juta minggu lepas. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here