KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) memuji sikap Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang konsisten menyertai Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun partinya bertindak menarik diri, semalam.
Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya memberi jaminan akan sentiasa bersama Dr Akmal dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam khususnya kuasa politik di negara ini.
“Dr Akmal, gunalah kesempatan ini, tunjuk hero, kita NGO-NGO akan bersama, apa sahaja isu Melayu dan Islam, kuasa politik Melayu, perjuangkan, kita akan berada di belakang.
“Orang macam ini patut ahli-ahli UMNO naikkan cepat, turunkan pengecut, turunkan sesiapa yang jadi pak turut kepada DAP, mereka kenal siapa orang itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr Akmal dalam hantaran terbaru di akaun Facebook miliknya menyatakan beliau tetap akan hadir menyatakan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kehadirannya itu adalah bersifat individu bagi memberikan sokongan moral kepada bekas Presiden UMNO itu.
Syed Hassan juga berkata, masih ramai orang Melayu dan Islam yang sayangkan UMNO kerana kehebatan pemimpin terdahulu parti Melayu itu membangunkan negara.
“Sebenarnya kita orang Melayu masih sayangkan UMNO, sebab tahu UMNO perjuangkan agama, bangsa dan negara, negara ini hebat maju kerana UMNO.
“Yang teruknya selepas 20 tahun dan 15 tahun ini, nak cari pemimpin UMNO terbaik ini susah sekarang.
“Yang bagus, tutup mulut, jaga tempat (jawatan), yang berani, nasib baik Akmal ini ada DUN dan dia juga ketua pemuda, takut sikit dia nak jatuh, memang rosak hancur UMNO kalau nak pecat Akmal ini,” katanya.
Ditanya tentang keputusan UMNO menarik diri daripada himpunan 6 Januari itu, Syed Hassan mendakwa ia tidak mewakili suara majoriti parti Melayu itu, dipercayai atas desakan DAP.
“Saya difahamkan yang tarik diri yang tidak akan bersama itu UMDAP, UMNO akan teruskan,” katanya dengan nada seloroh.
“Sekiranya UMNO tidak turun untuk menunjukkan solidariti kepada Datuk Najib, rakyat akan melihat satu lagi episod malang kepada orang Melayu dan UMNO tunduk kepada desakan DAP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette