JOHOR BAHRU – Dua beradik calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buntu apabila rumah mereka di Kampung Seri Jaya, Skudai di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kebakaran yang berlaku pada pukul 9.40 malam itu memusnahkan hampir kesemua peralatan pelajaran mereka seperti buku-buku, komputer riba dan kad pengenalan.
Calon STPM, Mohamad Akmal Muqri Mohamad Farok, 20, sehingga kini masih tidak berdepan dengan situasi sukar ini ketika peperiksaan STPM yang akan bermula Isnin ini.
Bagaimanapun katanya, dia tetap berazam untuk menduduki peperiksaan tersebut dan cuba melakukan yang terbaik.
“Semasa kebakaran hanya ada tiga orang di rumah iaitu adik, nenek dan juga seorang sepupu, kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang.
“Tapi memang sedihlah sebab barang-barang macam komputer riba, buku dan kalkulator habis terbakar,” kata pelajar SMK Aminuddin Baki itu ketika ditemui hari ini.
Adiknya, Mohamad Lutfi, 18, yang sedang menduduki peperiksaan SPM hanya menyedari rumah mereka terbakar apabila terdengar bunyi letupan dan jeritan neneknya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama itu cuba memadamkan kebakaran namun usaha itu tidak berjaya kerana api cepat merebak.
“Masa kebakaran berlaku saya berada di bilik mak dan ayah. Saya tak perasan api mula marak sehinggalah nenek saya menjerit dan saya dengar bunyi letupan.
“Api marak dengan cepat dan kebanyakan peralatan sekolah saya dan baju semua terbakar… tinggal sepasang sahaja.
“Tambah sedih, bila kad pengenalan saya dan kesemua dokuman menduduki peperiksaan turut terbakar dan untuk SPM pada Isnin ni saya perlu bawa salinan laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Larkin, Penguasa Bomba Kanan II, Indra Sahrel A Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 10 malam.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut 17 anggota dibantu dua jentera fire rescue tender (FRT), satu Unit Perhidmatan Perawatan Penyelamatan kecemasan (EMRS), tiga unit bermotor bomba (RIM) dan satu pacuan empat rida Triton dihantar ke Lokasi.
“Api berjaya dikawal pada pukul 10.30 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.09 tengah malam,” katanya dalam kenyataan.
Kejadian itu tambahnya, tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.- MalaysiaGazette