KUANTAN – Dua wanita maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas di kilometer 152, Lebuh raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Felda Nerek, Maran pagi tadi.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 11.07 pagi.
“Kesemua mangsa wanota yang menaiki kereta jenis Nissan Almera itu didapati tersepit selepas kereta itu terbabas ke dalam gaung sedalam enam meter di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, keempat-empat mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan dua yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Tambahnya, dua jenazah mangsa yang meninggal dunia akan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette