JOHOR BAHRU – Polis menahan empat remaja lelaki selepas terbabit dalam aktiviti samseng jalanan di sekitar pusat bandar raya ini pada awal pagi tadi.
Mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu ditahan dalam operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi pada pukul 12.30 tengah malam hingga hingga 5 pagi itu bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan.
“Operasi diketuai Pegawai Penguatkuasaan Trafik, Inspektor Amir Haikal bersama-sama lapan anggota itu memfokuskan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dan melanggar peraturan lalu lintas.
“Semua remaja yang ditahan disyaki melakukan aksi seperti wheelie dan zigzag yang bukan sahaja membahayakan diri mereka tetapi juga pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Raub, hasil operasi terbabit empat buah motosikal turut disita untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu katanya, enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan pengubahsuaian struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.
Katanya, polis akan terus memantau lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.- MalaysiaGazette