KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua menteri terbabit boleh dibawa ke muka pengadilan jika Mahkamah Rayuan mengesahkan kewujudan titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan tegas itu perlu diambil jika titah tambahan YDPA ke-16 selama ini disembunyikan dan gagal dilaksanakan Kerajaan Madani.
“Kalau mahkamah kata adendum itu wujud dan dijumpai, bermakna kerajaan selama ini telah menyembunyi, menyorok dan gagal melaksanakan titah tersebut.
“Kalau mahkamah nanti menentukan ada (Adendum), bermakna Perdana Menteri bercakap tidak benar, maka dia telah ingkar dan derhaka kepada titah YDPA.
“Kena ambil tindakan walaupun Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, mereka kena diambil tindakan bila didakwa dan kita NGO tidak teragak-agak untuk buat laporan polis,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Ia susulan kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini menjalani hukuman penjara enam tahun, dari 12 tahun serta denda dari RM210 juta kepada RM50 juta selepas dikurangkan Lembaga Pengampunan susulan sabitan dalam kes SRC International.
Perhimpunan itu diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Al-Sultan Abdullah berhubung tahanan rumah.
Menurut Mohd Zai, keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya penting bukan sahaja demi menegakkan keadilan kepada Najib, bahkan untuk memastikan institusi Diraja terus terpelihara dan dihormati rakyat.
“Isu 3R wujud (bagi mengelak) membuat perkara-perkara yang boleh meninggalkan kesan buruk kepada raja.
“Tapi kalau ini dilakukan (Adendum disembunyikan), bermakna kerajaan telah menunjukkan satu teladan atau contoh yang buruk dan rakyat tak suka perkara ini,” katanya.
Selain itu, Mohd Zai juga mendakwa, wujudnya krisis kuasa antara Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Anwar dengan YDPA.
“Kenapa tidak berlaku satu keadaan macam ketidakseimbangan antara kuasa kerajaan yang diketuai Perdana Menteri dengan kuasa YDPA.
“Bila Agong menitahkan sesuatu (titah) ia bukan boleh dipertimbangkan, PMX kata kita akan pertimbangkan, bila Agong kata ini adalah Adendum, ia titah juga yang dianggap sama dan ia perlu dilaksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette