JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor memberkas 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa serbuan di empat daerah di negeri ini.
Semua mereka berusia lingkungan 17 hingga 53 tahun dari pelbagai negara ditahan di premis tempat mereka bekerja dan asrama pekerja dalam operasi ambang tahun baharu itu.
PATI tersebut ditahan dalam operasi serentak bermula tengah malam 1 Januari lalu melibatkan pegawai dari Unit Penguatkuasa Cawangan Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 15 warga asing ditahan di Muar dan operasi di Segamat 11 warga asing di sekitar Chaah ditahan berusia antara 20 hingga 53 tahun.
“Operasi di Endau, Mersing pula berjaya menahan sembilan warga asing manakala operasi di Batu Pahat menahan 11 individu yang berusia antara 23 hingga 44 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Rusdi berkata, kesemua PATI yang ditahan adalah empat lelaki India, 15 lelaki dan dua wanita Myanmar, tiga lelaki dan empat wanita Thailand, lima lelaki Bangladesh, tujuh lelaki Indonesia, dua lelaki Pakistan dan empat lelaki Nepal.
Jelasnya, mereka ditahan kerana melanggar akta dan peraturan imigresen untuk tinggal di negara ini.
Selain itu katanya, sebanyak 15 notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan JIM Negeri Johor bagi membantu siasatan.
“Kita akan terus mempergiatkan penguatkuasaan dan operasi bagi membanteras warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan Imigresen.
“Jabatan ini juga akan memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu-individu yang didapati menggaji serta melindungi PATI,” ujarnya.- MalaysiaGazette