Mohamed Haniff Khatri Abdulla

KUALA LUMPUR – Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengenai proses pengampunan kepada banduan disebabkan mahu membetulkan kesilapan kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Menurut Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara mengenai proses pengampunan, semalam dibuat secara am tanpa mengaitkan nama banduan tertentu.

Manakala kenyataan yang dikeluarkan oleh AGC pada 28 Disember pula memetik nama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya percaya dan yakin apabila baginda melihat kenyataan AGC dan nampak kontroversi berbangkit maka baginda mengeluarkan hasrat untuk memberi kenyataan am yang tidak berkaitan dengan Najib dan titah adendum.

“Baginda terpaksa mencemar duli mengeluarkan kenyataan sebab kegagalan Peguam Negara mematuhi hasrat dan niat titah baginda terdahulu untuk keluarkan kenyataan am.

“Bila Pejabat Peguam Negara campur adukkan perkara yang am dengan khusus maka tidak mencapai hasrat tuanku dan boleh menjadi penghinaan mahkamah,” katanya dalam perkongsian video.

Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara tidak membawa sebarang kesan terhadap prosiding melibatkan Najib di Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Istana Negara dalam kenyataan pada Jumaat berkata, cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.

Sementara kenyataan Jabatan Peguam Negara menambah nama Najib dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. AGC bodoh…Agong tak sebut pun kes DS Najib…AGC pula pandai2..rakyat cuma nak tau benda simple…ADA atau tak ADA perintah Adendum Agong? Bukan rakyat nak tau proses mohon pengampunan..benda simple pun AGC bebal nak faham…betul laa Tommy Thomas kata peguam2 kat AGC tu banyak yg low class..sebab tu Tommy Thomas tak lantik mrk sbg pendakwa sebaliknya lantik peguam swasta

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here