Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Pas tidak perlu mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam polemik tindakan UMNO menarik diri daripada menyertai perhimpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, jika benar demikian tindakan tersebut amat tidak bertanggungjawab.

Malah katanya, perbuatan itu boleh menjadi beban besar kepada Najib dan pasukannya.

“Jika benar begini sikap Pas, ia boleh memberikan kesan negatif kepada imej Najib Razak, yang kini memerlukan sokongan dan bukan kontroversi.

“Jika benar Pas cuba tujukan (sindiran dalam hantaran Facebook Ketua Perangan Pas, Ahmad Fadhli Saari) kepada Yang di-Pertuan Agong, maka Najib Razak yang terima sokongan daripada Pas juga akan terpalit sebagai derhaka kepada Agong dan Raja-raja Melayu.

“Jadi, pasukan Najib Razak harus mempertimbangkan dengan serius untuk menjauhkan diri daripada Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menerusi hantaran dalam Facebook miliknya berkongsi ungkapan ‘Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. disergah biawak, digadai reban’.

Walaupun tidak jelas maksud di sebalik ungkapan itu, namun ungkapan itu dimuat naik selepas UMNO membatalkan rancangan mengadakan himpunan solidariti untuk Najib di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya Isnin ini.

Terdahulu Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, perlu dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, hantaran Ahmad Fadhli itu kini tular dan kecoh.

Rakyat katanya, mula membuat spekulasi bahawa hantaran itu mungkin ditujukan kepada UMNO dan lebih serius lagi kepada Agong.

Jelasnya, hantaran tersebut menjadi kontroversi besar dan jelas Pas seperti cacing kepasanan apabila UMNO membatalkan perhimpunan berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here