JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor akan membantu dua beradik calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas rumah mereka di Kampung Seri Jaya, Skudai di sini terbakar malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan JPN negeri bagi menyediakan kelengkapan serta setiap keperluan yang diperlukan bagi mereka menghadapi kedua-dua peperiksaan itu.
“Pertamanya, kita rasa sedih dengan apa yang berlaku pada calon-calon kita iaitu Mohamad Akmal Muqri Mohamad Farok, 20, dan adiknya, Mohamad Lutfi, 18, apabila rumah mereka terbakar,
“Kita berbincang dengan JPN Johor untuk berikan kelengkapan seperti pakaian dan alat tulis. Kita akan bantu berterusanlah untuk kelengkapan peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di rumah calon STPM dan SPM tersebut di kediaman mereka hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.
Kebakaran pada pukul 9.40 malam tadi itu menyebabkan dua beradik berkenaan termasuk keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila blok rumah sewa didiami musnah antara 50 hingga 60 peratus.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, pihaknya juga akan membantu mereka berkaitan urusan kad pengenalan kerana kad pengenalan diri itu turut musnah terbakar.
Selain itu katanya, bantuan daripada segi bimbingan kaunseling akan diberikan oleh guru-guru dua beradik berkenaan supaya mereka tidak rasa tertekan ditimpa ujian itu.
“Dari semasa ke semasa pihak jabatan akan memberi kaunseling termasuk guru-guru untuk beri sokongan kerana mengajar dan paling dekat dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette