KUANTAN – Polis sedang menyiasat kes pengabaian membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berbangsa India berusia setahun lapan bulan sehingga mengakibatkan kecederaan di Indera Mahkota, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat bapa kandung mangsa berhubung kejadian pada pukul 6.53 petang, 18 Disember lalu.
Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa telah diserahkan ibunya kepada sepasang suami isteri yang merupakan majikan kepada bapa mangsa untuk dijaga pada 16 November 2024.
Mangsa kemudian telah dibawa dari Melaka ke rumah majikannya di Indera Mahkota.
“Bagaimanapun, pada 17 Disember 2024, kira-kira jam 8.01 malam semasa berada di rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka, bapa mangsa menerima pesanan Whatsapp majikannya memberitahu kaki anaknya telah patah akibat terjatuh semasa bermain di taman permainan berhampiran rumah mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Wan Mohd Zahari, kanak-kanak itu kemudian dihantar pulang semula kepada kedua ibu bapanya di Melaka pada jam 4.30 pagi keesokan harinya tanpa diberikan rawatan walaupun telah diminta berbuat demikian oleh bapa mangsa.
Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tu kemudian mendapati anaknya dalam keadaan lemah, membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.
“Hasil pemeriksaan, doktor di hospital tersebut mengesahkan beberapa kecederaan antaranya retak pada tulang tibia di kaki kiri, kesan lebam bahagian kanan lengan, luka bahagian jari tangan dan terdapat kesan gigitan di lengan bawah kiri.
“Kanak-kanak itu telah ditahan di wad kanak-kanak di Hospital Melaka sehingga rakaman percakapan bapa dan saksi dirakam,” jelasnya lagi.
Wan Mohd Zahari berkata, kes telah diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette