KUALA LUMPUR – Kerajaan dan sektor swasta serta masyarakat diseru memperkukuh usaha dan meningkatkan sokongan terhadap penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan Braille dalam memastikan akses yang lebih luas kepada informasi dalam format sistem ini.
Presiden, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mohd Mustaza Mohamad Zin berkata, sistem Braille sangat penting dalam meningkatkan aksesibiliti informasi dan memperkasakan komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Malaysia.
Menurutnya, dalam era digital, teknologi seperti pencetak Braille, paparan Braille elektronik, dan perisian pembaca skrin perlu diperluaskan penggunaannya untuk memastikan tiada individu yang tercicir daripada arus maklumat.
“Walaupun banyak kemajuan telah dicapai terutamanya dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Marrakesh pada tahun 2022, masih banyak cabaran yang perlu diatasi.
“SBM berharap, Hari Braille Sedunia yang disambut setiap 4 Januari setiap tahun akan menjadi peringatan kepada semua tentang pentingnya sistem tulisan Braille sebagai alat transformasi sosial bagi OKU penglihatan,” katanya di sini.
Hari Braille Sedunia memberi penghormatan kepada pencipta sistem Braille, Louis Braille, yang telah membuka peluang kepada jutaan individu dengan masalah penglihatan untuk mengakses pendidikan, pekerjaan, dan informasi.
Di Malaysia, SBM telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan penggunaan Braille melalui pelbagai inisiatif seperti program pendidikan, latihan kemahiran, dan pembangunan bahan bacaan dalam format Braille.
Mustaza berkata, SBM komited untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan OKU penglihatan bagi mwujudkan sebuah masyarakat yang inklusif dan saksama, bagi membolehkan setiap individu diberi peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara. – MalaysiaGazette