Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap ketika sidang media selepas menghadiri Townhall Rakyat Mencari Kebenaran: Pengampunan Diraja di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memfailkan permohonan pengampunan diraja yang baharu buat masa ini bagi menghabiskan baki hukuman penjara kepada tahanan di rumah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, setakat ini beliau tidak menerima arahan daripada bekas Perdana Menteri untuk mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan.

Sehubungan itu, pihaknya akan meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya Isnin ini bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah adendum.

Ujar beliau, pasukan peguam akan menunggu prosiding di Mahkamah Rayuan selesai bagi mendapatkan arahan baharu daripada bekas Perdana Menteri.

“Kami akan meneruskan rayuan berhubung titah adendum yang menjadi perkara pokok dalam permohonan pengampunan diraja.

“Kami tidak boleh mengemukakan satu lagi permohonan baharu kerana kami akan dituduh memfailkan prosiding berganda yang akan membahayakan permohonan sedia ada,” ujar beliau.

Menurut Muhammad Shafee, jika rayuan ditolak oleh Mahkamah Rayuan Isnin ini, pihaknya akan mengemukakan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Rakyat `Mencari Kebenaran’ berkaitan isu `Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan’ di sini hari ini.

Selain Muhammad Shafee, barisan panel terdiri daripada peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain dan Chan Quin Er manakala Kamarudin Ahmad yang juga seorang peguam kanan dan aktivis bertindak sebagai moderator.

Pada 28 Disember lalu, media melaporkan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan sekiranya ingin menghabiskan baki hukuman kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

Kenyataan itu memberitahu, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula katanya, antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pejabat Peguam Negara suruh buat permohonan baharu? Tapi rakyat nak tahu apa jadi dgn permohonan lama? Ada atau tidak DYMM Agong Al Sultan Abdullah keluarkan titah Adendum? Atau kerajaan dah bakul sampahkan Titah Adendum sebelum ini??? Menteri jgn tipu rakyat laaa

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here