Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – UMNO didakwa menjadikan titah Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai sandaran untuk melindungi sikap pengecut mereka terhadap DAP apabila membatalkan penyertaan parti itu dalam himpunan ‘Solidariti Bersama Datuk Seri Najib Razak’ Isnin ini.

“Seperti biasa, saya melihat lakonan UMNO ini pasti ingin mengalih sikap sebenar mereka dengan bersandarkan kepada sesuatu perkara. Kali ini mereka memilih titah Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai sandaran untuk melindungi sikap pengecut mereka terhadap DAP.

“Kononnya mereka taat dan patuh kepada titah baginda yang menitahkan agar semua pihak menghormati Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan di mana kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah terletak dibawah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan di sini.

Beliau turut melahirkan rasa hairan dengan solidariti UMNO setelah bertegas untuk berhimpun dan bersolidariti Bersama Datuk Seri Najib Razak.

“UMNO semalam telah mengeluarkan kenyataan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti terhadap Najib. Pembatalan yang diumumkan tidak sampai empat jam selepas DS Najib Razak melahirkan rasa terharunya terhadap sokongan ahli-ahli UMNO agak menghairankan,” tambahnya.

Tuan Ibrahim berkata, Pas sentiasa menjunjung tinggi kesetiaan dan kedaulatan raja serta perlembagaan negara, juga akur dengan segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, Pas sejak awal telah memperjuangkan berkenaan titah adendum yang diperkatakan oleh semua pihak, peliknya, kerajaan hari ini seolah-oleh bermain “api” dan penafian oleh Perdana Menteri ke-10 bahawa titah adendum terhadap hukuman Najib tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang diadakan pada 8 Disember 2023.

Ia diikuti dengan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika persoalan ini dibangkitkan dalam Parlimen dengan menyatakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 hanyalah khabar angin.

“Namun, Datuk Muhammad Nizar dan Datuk Mohd Nazifuddin, ahli keluarga Najib menafikan dengan menyatakan dalam afidavitnya bahawa titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 memang wujud.

“Maka keadilan ini yang Pas perjuangkan, iaitu berikan hak kepada mereka yang berhak mendapatkannya,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim menegaskan, perjuangan Pas itu demi keadilan buat semua rakyat, tanpa mengira pangkat dan kedudukan kerana parti ini mengamalkan keadilan yang ditentukan oleh Islam.

Namun, katanya, agak malang apabila kenyataan UMNO untuk tidak meneruskan himpunan ini keluar selepas DAP menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap UMNO.

Beliau mendakwa, tindakan ini sudah terang lagi bersuluh, sekali lagi mengiyakan dakwaan rakyat sekarang bahawa UMNO hanya menjadi pengikut setia dan hanya mengangguk kepada apa sahaja yang dikatakan DAP.

Jika UMNO mahu membuang persepsi ini, mereka patut meneruskan perhimpunan dan bersolidariti bersama Najib sebagai lambang ketaatan UMNO kepada institusi agung, bukan takut kepada “batuk kecil” DAP.

“Himpunan ini juga adalah tanda UMNO mahukan keadilan dan layanan sama rata kepada pemimpin mereka, DS Najib Razak seperti mana yang mereka ungkit dan bangkit kan ketika mempersoalkan PM8 dan PM9 suatu masa dahulu.

“Cuma, terdetik diminda saya, adakah Presiden dan Pemimpin UMNO yang sedang menduduki kerusi empuk menteri dan timbalan menteri sudah tidak pedulikan ahli UMNO serta maruah UMNO? Jika itu yang terjadi, saya menzahirkan rasa simpati kepada Najib Razak yang sudah pasti banyak jasanya kepada ahli dan parti UMNO,” tambah Tuan Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here