Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kayat bercakap kepada media selepas pengumuman keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 09 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Pas dinasihatkan agar tidak derhaka apabila berhasrat mahu meneruskan perhimpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu titah adendum, Isnin ini.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, Pas juga tidak perlu mengajar Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

“Banyak ruang politik yang Pas boleh digunakan untuk bangunkan rakyat dan negara. Bukannya asyik nak tebuk atap sahaja (tubuh kerajaan ikut pintu belakang).

⁠”Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari memuatkan hantaran dalam Facebook miliknya yang mengecam UMNO dan mereka yang menghalang UMNO berhimpun.

“Ini secara tidak langsung telah menggambarkan kekecewaan ahli Parlimen dan pimpinan Pas terhadap kebijaksanaan UMNO mengelak perangkap Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Bagaimanapun semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan supaya cadangan mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Sementara Pas pula tiada hasrat untuk menyemak kembali saranan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya di Istana Kehakiman sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana mereka sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Agong, mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses serta penjalanan Lembaga Pengampunan.

Menurut Takiyuddin, seperti yang dibayangkan tema himpunan berupa kehadiran secara aman rakyat jelata rentas kaum dan fahaman ke suatu tempat awam iaitu mahkamah terbuka.

Mengulas lanjut, Sahaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, Pas hanya mahu mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan politik menerusi isu tersebut.

Apabila UMNO mengumumkan akan membuat himpunan solidariti tersebut katanya, Pas mengambil peluang untuk mendapatkan populariti peribadi sambil cuba memecahkan kerajaan Madani, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Maka telah dikerahkan ahli-ahli Pas seluruh negara yang tidak tahu hujung pangkal untuk hadir, sedangkan sebelum ini, Pas dianggap sebagai penentang kuat Datuk Seri Najib tetapi tiba-tiba berubah 360 darjah kononnya simpati pada Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Dakwanya, UMNO yang menyedari permainan politik murahan Pas itu mengambil tindakan pantas membantalkan himpunan itu walaupun tetap mengekalkan sokongan terhadap Najib hanya pendekatan yang berubah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here