KUALA LUMPUR – Pas dan badan bukan kerajaan (NGO) yang merancang untuk mengadakan perhimpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum, Isnin ini disarankan untuk membatalkan hasrat tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, semua pihak seharusnya menerima nasihat yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam.
“Kalau UMNO sebagai pihak yang terkesan langsung dengan kes Najib maka kenapa tidak parti lain turut membuat keputusan sama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, pagi ini.
Menurut Puad, UMNO sebagai sebuah parti yang menghormati Raja-Raja Melayu mengambil keputusan untuk membatalkan perhimpunan solidariti terhadap Najib atas nasihat Sultan Ibrahim.
Tambah beliau, UMNO yakin pada ihsan dan kebijaksanaan baginda agar bekas Perdana Menteri itu mendapat keadilan penuh.
https://malaysiagazette.com/2025/01/03/umno-batal-himpunan-solidariti-terhadap-najib/
“Ramai pemberita tanya pendirian saya mengenai pembatalan perhimpunan Solidariti Najib isnin ini. Saya sokong kerana ia keputusan parti.
Malam tadi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogratif YDPA, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
Namun petang semalam Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan YDPA pada mesyuarat akan datang.
Susulan itu kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang meminta orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.
Najib sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin depan. -MalaysiaGazette