KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa, titah adendum supaya Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah tidak didedahkan kepada umum bagi mengelakkan bekas Perdana Menteri itu kembali berpengaruh.
Beliau yang mengetuai pasukan pembelaan mewakili Najib berkata, anak guamnya ditindas oleh konspirasi politik kerana wujud pihak-pihak yang khuatir dengan pengaruh bekas pemimpin itu jika menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah.
“Saya hanya boleh membuat telahan mengapa perintah kedua itu tidak diumumkan dan saya berani kata sebab yang menonjol adalah wujud konspirasi politik untuk menindas beliau.
“Sebaik sahaja beliau keluar (dari penjara), ada orang yang takut beliau akan kembali berpengaruh,” ujar peguam itu ketika menjawab soalan pada sesi Town Hall Rakyat `Mencari Kebenaran’ berkaitan isu `Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan’ di sini hari ini.
Terdahulu, moderator Kamaruddin Ahmad bertanya mengapa sekretariat Lembaga Pengampunan tidak mengumumkan perintah kedua berkaitan titah adendum ketika mendedahkan keputusan Lembaga Pengampunan kepada umum pada 2 Februari 2024.
Menurut Muhammad Shafee, perintah pertama yang diumumkan hanya berkaitan pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Bagaimanapun, ujarnya, Najib dimaklumkan pada 12 Februari 2024 wujud titah adendum yang membenarkannya menjalani tahanan rumah terhadap baki hukuman penjara yang dijalaninya.
Sementara itu, seorang bekas peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Chan Quin Er berkata, titah adendum jika wujud, perlu didedahkan kepada umum.
Ujar beliau yang juga ahli panel sesi town hall itu, masa akan dijimatkan dan tidak seharusnya mengakibatkan pihak-pihak tertanya-tanya, selain mengelakkan isu itu dipolemikkan. – MalaysiaGazette