KOTA TINGGI – Seorang pemuda muat selepas motosial ditunggang tersepit bawah sebuah kereta dalam kemalangan di Felda Ulu Penggeli, Bandar Penawar di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 7.47 pagi itu melibatkan motosikal motosikal Yamaha NVX ditunggang mangsa dengan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan sebuah Proton Saga.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Ishak berkata, seramai 12 anggota dari BBP Bandar Tenggara dan BBP Renggam dikejarkan ke tempat kejadian dengan kira-kira 20 kilometer perjalanan.
Menurut Ibrahim, mereka dibantu dua jentera fire rescue tender (FRT).
“Kemalangan tersebut mengakibatkan penunggang motosikal, Muhammad Fareedzul Anuar yang 24 tahun tersepit bawah Proton Saga.
“Pihak bomba menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tiga mangsa lain katanya, selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
Operasi itu tambah beliau, tamat pada pukul 9:39 pagi. – MalaysiaGazette