KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan penganjuran himpunan solidariti buat Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin depan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya ada menerima permohona penganjuran pada 31 Disember lalu.
“Namun ia terpaksa ditolak kerana semakan mendapati, permohonan tersebut tidak lengkap dan untuk itu pihak polis menolak kebenaran untuk tujuan perhimpunan.
“Malah pemakluman permohonan himpunan itu juga telah diberitahu kepada pihak penganjur pada Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya akan membuat persediaan kawalan keselamatan berhubung penganjuran himpunan itu dengan menempatkan seramai 456 pegawai dan anggota polis.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin depan sebagai mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Susulan kes itu, himpunan pada Isnin ini dilakukan sebagai satu bentuk sokongan ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas Presiden parti keramat itu. – MalaysiaGazette