Mahmood Razak Bahman

KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memohon bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman dash cam atau maklumat tentang keberadaan tayar lori yang tercabut akibat kemalangan maut di persimpangan tol Ayer Keroh, Kilometer (KM) 204, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Melaka pada 23 Disember lalu untuk tampil menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berharap agar maklumat yang diperoleh daripada orang ramai akan dapat menyempurnakan lagi siasatan punca insiden kemalangan berlaku.

“Saya merayu agar sesiapa yang mempunyai rakaman dash cam sebelum, semasa dan selepas kemalangan tersebut, terutamanya rakaman ketika tayar itu dialihkan dari lokasi kemalangan, untuk tampil dan menyerahkan rakaman tersebut kepada Polis di Raja Malaysia (PDRM).

“Bahan-bahan bukti ini amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat suatu kepastian dan titik noktah berhubung tragedi ini,” kata Mahmood.

Berdasarkan laporan pemeriksaan awal Puspakom, ke atas lori berjenama Foton yang terbabit dalam kemalangan tersebut mendapati tayar yang hilang itu memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram bersama tayar.

Tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian, seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian.

Katanya, Puspakom telah memuktamadkan laporan siasatan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dan telah menyerahkanya kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), namun hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan manakala tayar yang tercabut itu tidak dapat diperiksa kerana tidak dijumpai.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan tayar tersebut boleh menghubungi PDRM atau memaklumkan kepada Puspakom di talian 03-5101 7000.

Mengulas penahanan reman seorang lelaki yang dikaitkan dengan siasatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mahmood berharap perkara ini dapat membantu membongkar sindiket yang didakwa mengawal sektor pemeriksaan.

“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, Puspakom amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasa bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab ini menerima tindakan undang-undang sepenuhnya,” ujar beliau.

Selain itu, beliau juga menegaskan penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab yang
memperjudikan bukan sahaja nyawa pemandu, bahkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam usaha kita untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, pemilik kenderaan perdagangan juga perlu memastikan tayar yang digunakan adalah mematuhi piawaian ketahanan dan keselamatan seperti mana yang diperuntukkan oleh kerajaan.

“Penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian ini adalah sangat tidak bertanggungjawab sama sekali,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here