KUALA LUMPUR- Seorang individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di sini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa, sebagai balasan untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di PUSPAKOM.
SPRM berkata, penangkapan suspek adalah hasil kolaborasi suruhanjaya itu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Individu tersebut telah diserahkan oleh JPJ kepada SPRM petang semalam dan ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
“Penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dan JPJ dalam memastikan integriti proses pemeriksaan kenderaan terus terpelihara dan bebas daripada sebarang amalan rasuah,” katanya.
SPRM menegaskan komitmennya untuk terus memerangi rasuah, khususnya yang melibatkan sektor penguatkuasaan, demi memastikan perkhidmatan awam di negara ini kekal telus, berintegriti, dan dipercayai rakyat.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2024/12/24/tayar-lori-tercabut-punca-nahas-7-maut-di-melaka/
https://malaysiagazette.com/2024/12/28/lebih-1400-korban-nahas-babitkan-lori-dalam-masa-enam-tahun/