BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan remaja perempuan berusia 14 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes menikam ibu saudaranya dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai di sini, semalam.
Perintah reman terhadap suspek yang sudah tidak bersekolah itu dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis pada jam 9.10 pagi.
MalaysiaGazette difahamkan suspek itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamin.
ARTIKEL BERKAITAN
Remaja 14 tahun ditahan polis, disyaki tikam ibu saudara dengan pisau
Suspek tak pernah agresif sebegini – Suami mangsa tikam
Media semalam melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan polis selepas bertindak menikam perut ibu saudaranya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu berada di rumahnya bersama anaknya berusia lima tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.30 pagi sebelum pasukan penyiasat bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.
“Susulan itu suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya,” katanya. – MalaysiaGazette