Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan kepada mana-mana pihak supaya tidak menyembunyikan titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, tindakan menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong termasuk titah tambahan atau adendum merupakan setu bentuk penderhakaan kepada raja dan negara.

Beliau turut menegaskan, rakyat berhak mengetahui hakikat sebenar sama ada titah adendum wujud atau tidak kerana ia telah menjadi isu berkepentingan awam.

Jelasnya, rakyat juga berhak mempersoalkan mengapa titah adendum tidak dilaksanakan sekiranya telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong sejak setahun yang lalu

“Hal ini adalah amat penting kerana apa-apa perlakuan ingkar, menyembunyikan atau menafikan mana-mana titah yang dizahirkan oleh Institusi Yang di-Pertuan Agong, termasuklah titah adendum tersebut, adalah merupakan satu penderhakaan besar kepada raja dan negara.

“Suara rakyat yang ingin tahu akan kewujudan dan kedudukan titah adendum tersebut adalah hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak,” kata Hamzah dalam kenyataan.

Tambah beliau, adalah menjadi satu kewajipan bagi semua rakyat untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Instusi Beraja sebagai lambang kedaulatan negara seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

Pihak Kerajaan atau mana-mana pihak tertentu mempunyai tanggungjawab untuk menyempurnakan titah Institusi Yang di-Pertuan Agong yang dibuat dengan teratur mengikut lunas perundangan negara.

Ini termasuk apa juga titah tambahan atau adendum dalam hal pengampunan di-Raja yang dibuat oleh mana-mana Yang di-Pertuan Agong.

Kewujudan titah adendum berkaitan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih menjadi misteri.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan kewujudan titah adendum.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya berkaitan titah adendum, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April tahun lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bukankah pihak Istana Pahang sudah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hal ini.
    jadi, siapa penderhaka dan pengkhianat sebenarnya???

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here