Sim Tze Tzin hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang mempertahankan buku Becoming Hannah tulisan Hannah Yeoh, membuktikan beliau gagal memahami inti perdebatan yang sebenar.

Menurut Profesor Undang-undang Perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa, kenyataan Tze Tzin juga mencerminkan kealpaan beliau dalam menilai isu-isu yang berkaitan dengan dasar negara dan sensitiviti masyarakat beragama Islam di Malaysia.

“Tze Tzin harus sedar bahawa tulisan seperti ini hanya memperburukkan persepsi terhadap parti yang diwakilinya dan mencerminkan keengganan untuk menerima kritikan yang membina.

“Adalah lebih baik untuk menganalisis isu ini secara objektif daripada sekadar menyerang pengkritik dengan label “bigot” yang tidak berasas.

“Perdebatan sebenar buku ini bukan tentang dakwaan pemurtadan, tetapi tentang bagaimana kandungan buku tersebut tidak sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta melanggar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mahamad Naser mengulas kenyataan Ahli Parlimen itu yang berkata beliau telah membaca buku Hannah dan kekal seorang Buddha.

Tze Tzin yang telah berkawan selama 15 tahun dengan Hannah menyatakan Menteri Belia dan Sukan tidak pernah sekalipun cuba menyebarkan agama Kristian kepadanya atau mengajak beliau ke gereja.

Profesor Undang-undang Perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa
Profesor Undang-undang Perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa

Mengulas lanjut, Mahamad Naser berkata kenyataan Tze Tzin amat tidak wajar apabila beliau mendakwa Hannah “hanya menyimpan kepercayaannya di dalam diri sendiri” (“Hannah just kept her faith to her inner self”) sedangkan terdapat bahagian di dalam buku tersebut yang menunjukkan perkara yang berbeza.

“Jika Sim membaca dan memahami buku Becoming Hannah dia tidak akan membuat kenyataan sedangkal ini.

“Di muka surat 108 bukunya, Hannah menyatakan:

“I also felt that politics took me away from my true longing, which was to be a preacher. But had I not obeyed God’s call, I would not have had the opportunity to preach at churches, to world leaders and to young people, like I am able to do now. God knew the desire of my heart to preach and serve Him. And He made it happen through my political office.”

“Jika diterjemahkan, ayat ini membawa maksud:

“Politik menjauhkan Hannah daripada keinginan sebenar beliau untuk menjadi seorang pendakwah. Hannah mengakui bahawa politik memberi peluang kepadanya untuk berceramah di gereja, kepada pemimpin dunia, dan kepada golongan muda. Hannah percaya bahawa pejabat politiknya adalah medium untuk memenuhi keinginannya berdakwah,” katanya lagi.

Mahamad Naser berkata lagi, kenyataan Tze Tzin adalah dangkal semata-mata untuk menutup kelemahan hujah dan bertindak defensif terhadap kritikan yang sah.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sebanyak 157 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

Malah Azry Akmar juga berkata polis akan merekod keterangan Menteri Belia dan Sukan itu dalam masa terdekat berhubung isu buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here