Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Tindakan Pas mahu meneruskan perhimpunan solidariti Datuk Seri Najib Razak Isnin ini didakwa sebagai sedang mengusahakan politik licik ala ‘Squid Game‘ bagi merebut kuasa dengan apa cara sekalipun.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, pengumuman Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meneruskan perhimpunan disifatkan tidak bertanggungjawab, tidak berprinsip, hipokrit dan oportunis.

Ini kerana Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan mengenai prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan amaran daripada Ketua Polis Negara untuk tidak menghadiri perhimpunan tersebut.

Tambahan menurut Guan Eng, UMNO sebagai penganjur perhimpunan juga telah menarik diri.

“Hanya seorang penuntut “Squid Game” berani untuk mengingkari dan menentang titah diraja dan diikuti dengan amaran daripada PDRM.

“Rakyat Malaysia dapat melihat sendiri bagaimana Pas sanggup menggugat kesejahteraan sosio-politik dan ekonomi negara dalam bahaya dengan menghapuskan semua lawan politik dengan cara yang tidak jujur, termasuk sekutu politik mereka Bersatu yang tidak melibatkan diri dengan perhimpunan itu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Guan Eng berkata, tindakan DAP bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, DAP akan dituduh tidak menghormati Raja-Raja Melayu jika mengingkari titah baginda.

“Tidak seperti Pas yang berani mengingkari dan menentang titah diraja, DAP memilih untuk mematuhi titah firaja untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Jika DAP memilih untuk tidak berbuat demikian, maka DAP dengan mudah akan dituduh sebagai tidak menghormati Raja-Raja Melayu dan bakal diserang dengan soal perkauman. Jauh beza dengan Pas yang tamak kuasa, DAP sanggup berkongsi kuasa seperti titah raja,” katanya.

Beliau menjawab serangan Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari terhadap DAP kerana menyertai dan menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu sedang berhadapan dengan pertuduhan jenayah rasuah.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast