Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa bercakap pada sidang media mengenai krisis isu addendum menjelang Perhimpunan Rakyat di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjawab sejauh mana titah adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 mengenai pengampunan diraja yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun terbatal mahupun dipinda.

Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, jika titah adendum Al-Sulatan Abdullah tidak terbatal, bagaimana Istana Negara boleh mengeluarkan titah supaya mana-mana banduan boleh membuat permohonan itu kepada Lembaga Pengampunan.

“Itu kerajaan kena jawab la yang tu, dia nak pinda ke? Itu yang kita pelik, itu pun dia tak boleh nak jawab, apatah lagi dia nak jawab pinda ke, suruh rayu balik ke.

“Tapi kita lihat bila orang nak berhimpun untuk Datuk Seri Najib, baru pula dia (Istana Negara) keluar segera (titah) buatlah rayuan.

“Saya nak kata macam ini, you tak respect ke adendum lepas yang sudah dibuat? Macam mana kita kena baharu benda baharu, tapi yang lama tak hormat, apa bezanya Agong yang dulu dengan sekarang?

“Bukan atas nama (Agong) tapi atas nama institusi dia (diraja). Siapa YDPA? Ia adalah institusi dan pada waktu Tuanku memang amanah itu menjalankan fungsinya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda YDPA mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, YDPA juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.

Kuasa Paduka Baginda juga dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.

Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengersikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara turut mengingatkan semua pihak untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.

Hisyam Shahrin

Sementara itu, Hisyam Shahrin pula menegaskan, titah adendum tidak pernah lapuk walaupun jawatan YDPA silih berganti setiap penggal atau dalam tempoh lima tahun pertadbiran.

“Nak lapuk bagaimana? Tarikh keluar 29 Januari 2024, ketika itu Al-Sultan Abdullah masih lagi berkhidmat sebagai YDPA ke-16. Nak lapuk macam mana? Saya pun pelik kalau orang kata lapuk!” katanya.

Selain itu, Hisyam juga berkata, tindakan anak sulung Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Muhammad Nizar yang mengatakan kewujudan titah adendum disahkan sendiri Al-Sultan Abdullah, seolah-olah menyerah tengkuknya sendiri untuk dijerut.

“Seorang rakyat marhaen biasa yang mempunyai kedudukan sebagai wakil rakyat, dan juga Exco Kerajaan Negeri membuat kenyatan begitu menggunakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah sebenarnya menjerat diri kalau dia berbohong.

“Kalau betul kenyataan bohong, kita pun nak tindakan diambil kepada Datuk Nizar.

“Tapi saya tak fikir seorang rakyat yang lemah, marhaen, yang ingin membela kebenaran, berani berbohong dan melakukan fitnah ke atas nama Sultan Pahang, saya tak percaya.

“Tambahan pula salinan adendum itu sudah berlegar (media sosial), saya sudah baca malam tadi,” katanya.

Katanya lagi, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Ummah sentiasa menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan akan menentang mana-mana pihak yang melakukan penderhakaan kepada institusi Diraja.

“Siapa pun kita tak kira sama ada anak Datuk Najib (Nizar) hatta Perdana Menteri sendiri.

“Selepas ini (kewujudan Titah Adendum disahkan), kita tidak akan teragak-agak untuk melakukan laporan polis, sekiranya sah dan terang yang kerajaan tidak melaksanakan Titah Adendum YDPA ke-16,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here