TENOM – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui One Health Student Club (OHSC) dengan kerjasama beberapa universiti luar negara telah menganjurkan program
kesedaran perubahan iklim bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tenom, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Universiti Jember Indonesia, University of The Philippines, dan Universiti Brunei Darussalam itu ditaja oleh Asia-Pacific Consortium for Public Health (APACPH) Multi-countries Research Grand itu merupakan inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran komuniti mengenai isu perubahan iklim melalui pendidikan peringkat awal.
Penasihat OHSC, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad yang juga merupakan pengasas kepada organisasi Teach4Tomorrow berkata, pemilihan daerah Tenom sebagai
lokasi pertama adalah kerana potensinya untuk menjadi model kepada pelaksanaan program serupa di negara jiran.
Katanya, program tersebut akan diperluas ke Jember Indonesia, Manila dan Brunei dalam masa terdekat.
“Kami percaya pada konsep melentur buluh dari rebungnya, di mana mendidik kanak-kanak sejak usia muda dapat membentuk kesedaran yang mendalam tentang
perubahan iklim.
“Dalam program ini juga, OHSC telah melancarkan komik modul interaktif yang bertujuan untuk memberikan pemahaman yang mudah dan menarik tentang
perubahan iklim,” katanya.
Tambah Zulkhairul Naim, dengan penyertaan aktif lebih 200 murid, guru, dan sukarelawan, program tersebut telah menunjukkan potensi besar dalam menyemai
kesedaran perubahan iklim di peringkat akar umbi.
“Komitmen UMS melalui OHSC dalam melibatkan pelajar universiti sebagai agen perubahan telah membuktikan bahawa pendidikan mampu menjadi alat yang
berkesan untuk menangani isu global.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam pendidikan berkualiti dan tindakan
terhadap perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Tenom, Shamsudin Akil menzahirkan penghargaan atas penganjuran tersebut di sekolah berkenaan.
“Sekolah kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak luar, terutama untuk program yang membawa manfaat besar kepada murid.
“Kami berharap anak-anak ini akan membawa pulang ilmu yang diperoleh hari ini untuk disampaikan kepada keluarga mereka,” katanya. – MalaysiaGazette