Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bercakap pada Townhall Rakyat Mencari Kebenaran: Pengampunan Diraja di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa mutlak di bawah Perlembagaan untuk mengampunkan banduan yang melakukan kesalahan di Wilayah Persekutuan tanpa perlu terikat terhadap cadangan Lembaga Pengampunan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan, titah yang terkandung dalam pengampunan diraja adalah sah untuk dilaksanakan meskipun perkenan itu dikeluarkan tanpa melalui Lembaga Pengampunan.

Ujar beliau, lembaga yang bersidang tidak boleh mengatasi kuasa mutlak Seri Paduka kerana ia bukan institusi yang diberi kuasa memberikan pengampunan.

Mohamed Haniff menjelaskan, jika Peguam Negara memberikan nasihat kepada YDPA sekalipun, ia tidak semestinya diterima atau diikuti oleh Seri Paduka.

“Sama ada dinasihati Peguam Negara atau tidak, nasihat tersebut diikuti atau sebaliknya atau sama ada Lembaga Pengampunan bersidang atau tidak, ia tidak akan mencacatkan perintah pengampunan yang diberi.

“Pengampunan diraja adalah hak prerogatif sultan dan tidak boleh dihadkan oleh mana-mana formaliti atau badan,” ujar beliau pada sesi Town Hall Rakyat `Mencari Kebenaran’ berkaitan isu `Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan’ di sini, lewat petang semalam.

Beliau menjawab soalan umum sama ada kuasa prerogatif mesti diperkenan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Selain Mohamed Haniff, barisan panel turut dianggotai oleh peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain dan Chan Quin Er manakala Kamarudin Ahmad yang juga seorang peguam kanan dan aktivis bertindak sebagai moderator.

Mohamed Haniff selanjutnya menjelaskan, beberapa kes Mahkamah Persekutuan yang menjadi duluan atau dijadikan nas undang-undang menunjukkan bahawa pengampunan diraja boleh diberikan tanpa perlu melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Beliau turut berpendirian, Najib sebenarnya tidak perlu ke mahkamah untuk mencabar titah adendum jika Peguam Negara ketika itu yang turut menganggotai Lembaga Pengampunan, memaklumkannya kepada masyarakat.

“Mengapa disembunyikan? Siapa yang menimbukan masalah? Itu titah Agong,” ujar beliau.

Mohamed Haniff berkata, jika Seri Paduka bertitah agar Najib menjalani baki hukuman di istana baginda sekalipun, ia sah dan harus diterima.

Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, tindakan pihak yang `menyimpan’ adendum tersebut telah menyebabkan keadilan terhadap Najib dinafikan.

Pada 28 Disember lalu, media melaporkan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan sekiranya ingin menghabiskan baki hukuman kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here