LONDON- Raja Charles III dilaporkan berdukacita selepas mendengar berita kematian anak tiri bekas pengasuh kepada Putera William dan Putera Harry, Edward Pettifer, dalam insiden rempuhan kenderaan di New Orleans, Amerika Syarikat pada Hari Tahun Baharu.
Insiden itu mengakibatkan 14 orang maut dan sekurang-kurangnya 35 cedera apabila suspek, dikenali sebagai Shamsud-Din J, didakwa memandu pikap secara melulu ke arah orang ramai di Jalan Bourbon, kawasan tumpuan sambutan Tahun Baharu yang popular di French Quarter.
Polis Metropolitan mengesahkan mereka sedang memberikan sokongan kepada keluarga Edward Pettifer, 31, yang terkorban dalam serangan di negeri Louisiana, Amerika Syarikat (AS) itu.
Baginda dilaporkan telah dimaklumkan secara rasmi mengenai kematian Edward Pettifer dan menyatakan rasa dukacita mendalam atas kehilangan tersebut serta turut berhubung secara peribadi dengan keluarga mangsa untuk menyampaikan ucapan takziah.
Menurut laporan akhbar, The Telegraph, Edward Pettifer merupakan anak tiri kepada Tiggy Legge-Bourke, bekas pengasuh kepada Putera William dan Putera Harry, yang kini dikenali sebagai Alexandra Pettifer.
Edward adalah anak lelaki sulung kepada Charles Pettifer, seorang bekas pegawai Coldstream Guards, dan Camilla Wyatt, anak kepada seorang penternak kuda lumba, menurut laporan akhbar berkenaan.
Adik tiri Edward Pettifer, Tom, yang juga merupakan anak lelaki pembaptisan kepada Putera William, pernah memainkan peranan penting sebagai pembawa cincin ketika perkahwinan Putera dan Puteri Wales pada tahun 2011.
Difahamkan, Putera Wales turut dimaklumkan mengenai kematian tragis Edward Pettifer.
Suspek yang berusia 42 tahun dari Texas didakwa keluar dari kenderaan selepas insiden rempuhan dan melepaskan tembakan sebelum akhirnya ditembak mati oleh pihak polis.
Keluarga Pettifer berkata dalam satu kenyataan: “Seluruh keluarga berasa amat terkesan dengan berita tragis kematian Ed di New Orleans. Dia seorang anak, abang, cucu, anak saudara, dan sahabat yang sangat baik kepada ramai orang.
“Kami semua akan sangat merinduinya. Ingatan kami turut bersama keluarga lain yang kehilangan insan tersayang dalam serangan mengerikan ini.
“Kami memohon agar diberi ruang untuk berkabung atas kehilangan Ed secara peribadi. Terima kasih.”
Koroner New Orleans mengesahkan punca awal kematian Edward Pettifer adalah akibat kecederaan serius dari hentakan kuat.
Polis Metropolitan menyatakan pegawai perhubungan keluarga sedang membantu proses membawa pulang jenazah mendiang ke United Kingdom.
Pejabat Luar Negara Britain turut memberi sokongan kepada keluarga mangsa dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam urusan berkaitan.
Datuk Bandar New Orleans, LaToya Cantrell, dalam satu sidang media, menyampaikan rasa simpati mendalam kepada mangsa dan keluarga, menyifatkan mereka sebagai sebahagian penting daripada komuniti bandar itu.
Menurut koroner, seorang daripada mangsa yang maut masih belum dikenal pasti, sementara mangsa lain terdiri daripada warga Amerika Syarikat berusia antara 18 hingga 63 tahun.
Pihak berkuasa percaya suspek bertindak secara bersendirian dalam insiden tragis ini. – Agensi