Keadaan sekitar kawasan di Jalan Salak, Sungai Rokam, Ipoh dinaiki air susulan hujan lebat berterusan petang tadi. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 JANUARI 2025.

IPOH – Baru lima hari melangkah ke tahun 2025, masalah banjir kilat di Jalan Salak, Kampung Sungai Rokam di sini masih tidak berkesudahan dan amat meresahkan penduduk.

Lokasinya yang terletak bersebelahan Sungai Pinji pasti akan terkesan setiap kali hujan lebat berterusan.

Hujan lebat dalam tempoh satu jam sahaja sudah cukup membuatkan rumah di kawasan berkenaan dinaiki air.

Kucing antara yang diselamatkan berikutan sekitar kawasan di Jalan Salak, Sungai Rokam, Ipoh dinaiki air susulan hujan lebat berterusan petang tadi. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 JANUARI 2025.

Tinjauan MG Perak mendapati, sebanyak 10 buah rumah dinaiki air di kawasan berkenaan selepas hujan lebat berterusan selama satu jam yang bermula sekitar pukul 4 petang tadi.

Penduduk, Idris Abdul Rahim, 70, berkata, sepanjang lebih 60 tahun menetap di kampung tersebut masalah banjir kilat tidak pernah dapat diselesaikan dengan sempurna.

Dia yang tinggal bersama isteri dan dua anak berkata, antara kejadian banjir terburuk yang pernah berlaku adalah sekitar 18 tahun lalu dengan air naik sehingga ke paras leher.

Keadaan rumah penduduk sekitar kawasan di Jalan Salak, Sungai Rokam, Ipoh dinaiki air susulan hujan lebat berterusan petang tadi. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 JANUARI 2025.

“Banjir sudah kira berpuluh tahun berlaku dan sehingga kini pihak berkaitan tidak dapat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut. Daripada 10 buah rumah lima daripadanya terjejas teruk. Rumah saya pun banyak barang yang rosak antaranya tilam.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berwajib mencari solusi terbaik supaya kejadian banjir kilat ini tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Jalan Salak, Kampung Sungai Rokam di sini pada petang Ahad.

Seorang lagi penduduk, Wiween Feroza Mohd Wazir, 40, berkata, rumah pusaka dua tingkat yang didiaminya bersama enam ahli keluarga lain sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Hari ini sewaktu air tengah naik kami tiada di rumah. Bagaimanapun, jiran segera menelefon memaklumkan kejadian itu dan saya meminta bantuannya untuk mengalihkan tiga kenderaan di rumah ke tempat yang lebih selamat.

“Ketika tiba di rumah saya mendapati ketinggian air mencecah paras dada namun ia sudah mulai surut.

“Beberapa barangan elektrik antaranya mesin basuh, peti ais, periuk nasi dan peti sejuk beku yang berada di bahagian bawah tidak sempat diselamatkan,” ujarnya.

Selain Jalan Salak di Kampung Sungai Rokam, beberapa lokasi lain turut dilanda banjir kilat di sekitar Ipoh antaranya Tambun, Taman Cempaka, Bercham dan Taman Maju Rapat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here