Empat daripada 131 lelaki warga dari Myammar termasuk etnik Rohingya yang merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor, dicekup sekitar jam 3:30 petang berhampiran perkampungan Orang Asli Sanding. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pelbagai kes tangkapan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) menunjukkan keseriusan isu terbabit di negara ini serta bagaimana PATI berkenaan sering menjadi mangsa kepada sindiket dan kartel yang memanfaatkan kelemahan sistem.

Sehubungan itu, Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah tegas seperti operasi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa antaranya Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah penting untuk menangani masalah itu.

kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

Namun, ujar beliau, usaha tersebut perlu disokong dengan pendekatan lebih holistik berlandaskan integriti dan ketelusan yang menjadi tunjang utama.

“Memusnahkan kartel bukan hanya tentang menangkap mereka yang bersalah tetapi juga memastikan sistem yang ada tidak memberi peluang untuk mereka bertapak semula.

“Demi masa depan anak cucu kita, usaha ini perlu diteruskan secara konsisten, dengan penglibatan semua pihak dalam menjunjung prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook MCW hari ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa siri operasi pihak berkuasa yang berjaya menahan PATI antaranya serbuan oleh Jabatan Imigresen di sebuah pusat hiburan mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, tengah malam semalam, membabitkan penahanan seramai 123 PATI terdiri daripada 54 lelaki dan 69 wanita.

Turut ditahan dalam operasi berasingan ialah 53 pendatang tanpa izin dalam operasi Op Kutip di kawasan sekitar sebuah pusat beli-belah di Ampang, Selangor.

Sementara itu, Jais berkata, peranan integriti dalam memusnahkan kartel yang melindungai PATI adalah termasuk menerusi amalan pencegahan rasuah.

Jelas beliau, kartel sering kali mendapat perlindungan melalui rasuah dalam kalangan segelintir pegawai yang tidak amanah, justeru memperkasa sistem integriti akan menutup ruang rasuah dan menjadikan operasi mereka lebih sukar.

Elemen lain, tambahnya, adalah menerusi penguatkuasaan yang telus yang mana operasi yang dijalankan pihak berkuasa perlu berdasarkan bukti kukuh, mengelak ketirisan maklumat dan memastikan tiada diskriminasi dalam tindakan undang-undang.

“Selain itu, penguatkuasaan juga memerlukan kerjasama erat antara pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, APMM, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berkongsi maklumat dan sumber secara efektif.

“Pemantauan berterusan juga perlu dilakukan dengan penggunaan teknologi seperti sistem biometrik, kamera badan untuk pegawai penguat kuasa dan pangkalan data yang terkini dapat membantu memantau dan menjejaki sindiket serta aktiviti kartel,” katanya.

Dalam masa sama, tambah Jais, masyarakat juga perlu dididik tentang implikasi sosial dan ekonomi daripada kegiatan kartel, termasuk kebanjiran PATI yang tidak terkawal dan sokongan komuniti itu penting dalam melaporkan aktiviti mencurigakan.

“Usaha berterusan ini penting ke arah menjamin kedaulatan negara dan keselamatan rakyat, mengelakkan ketirisan dana melalui rasuah dan eksploitasi tenaga kerja haram serta mengurangkan risiko jenayah yang berkait dengan PATI atau sindiket,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here