Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Makkal Sakti boleh berhimpun bagi menunjukka solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya esok, tetapi dengan risiko sendiri.

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, parti itu akur dengan keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan himpunan solidariti seperti dirancang bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, kata beliau, Makkal Sakti juga membuat pendirian sama bagi mengelakkan kemungkinan huru-hara dan kemudaratan yang timbul seperti ditegaskan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, kita tidak menghalang mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan itu dengan tanggungan risiko sendiri.

“Ingin ditegaskan di sini, Makkal Sakti tidak dan tidak pernah berganjak walau seinci dari pendirian kami iaitu Najib adalah mangsa politik dan sedang dizalimi serta tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Kami sentiasa akan berdiri teguh bersama Bossku (Najib). Kali ini kami mengalah demi kemenangan besar yang bakal timbul,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Pada Oktober lalu, Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Makkal Sakti turut mendesak pembebasan Najib selepas Thanenthiran menyifatkan parti itu yang berusia lebih 16 tahun banyak terhutang budi dengan Perdana Menteri berkenaan ketika beliau menerajui negara.

Kata Thanenthiran, sejak pelbagai dakwaan dikemukakan terhadap Najib pada 2018, Makkal Sakti terus setia bersama Najib bagi mendapatkan pengadilan untuk bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa parti politik termasuk UMNO dan Pas akan menganjurkan himpunan solidariti di Istana Kehakiman Putrajaya esok, sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa besar beliau selama ini.

Susulan itu, Istana Negara menerusi satu kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.

Dalam masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut menggesa orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan mengenai hak perogatif Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan banduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here