KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Negeri Perak mempersoalkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membisu berhubung himpunan solidariti anjuran Pas untuk menunjukkan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir, dalam kenyataan berkata, Tun Mahathir yang kini menjadi penasihat kerajaan Perikatan Nasional dilihat berdiam diri meskipun Pas semakin lantang mempertahankan bekas Perdana Menteri itu.
“Pada hari ini, Pas begitu bersemangat mempertahankan Najib sehingga sanggup menganjurkan himpunan biarpun setelah Istana Negara mengeluarkan kenyataan.
“Tun Mahathir antara susuk tubuh yang lantang untuk melawan Datuk Seri Najib namun apabila rakan ‘sepelukannya’ iaitu PAS bertindak ironi, Tun Mahathir masih membisu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Munzirie turut menyelar tindakan yang Pas memanfaatkan isu Najib untuk keuntungan politik dengan menggunakan sentimen agama dan menggerakkan jentera parti bagi membela seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Beliau juga mempersoalkan pendirian sebenar Tun Mahathir, sama ada prinsipnya terhadap Najib masih utuh atau jika beliau menyokong tindakan PAS itu.
“Kami anak muda hanya mahu tahu, apa pendirian sebenar Tun Mahathir, adakah masih utuh dengan prinsip terhadap Najib?
“Adakah beliau rela dengan tindak tanduk PAS ketika ini?”, jelasnya.- MalaysiaGazette