KUALA LUMPUR – Kekecohan melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pukul 5 petang semalam, berpunca daripada keinginan mereka yang mahukan proses permohonan untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.
Perkara itu disahkan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, ekoran kejadian tersebut, pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah bertindak untuk berbincang bersama dengan warga Palestin yang terlibat.
“Situasi berkenaan dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL.
“Warga Palestin telah bersurai kira-kira jam 7.30 petang,” demikian menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, tambah kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut.
Terdahulu, tular video di laman sosial yang memaparkan rakyat Palestin yang menetap di WTKL membuat kerosakan, termasuk membakar cadar bagi meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebook, beberapa penginap Palestin di WTKL dilihat berkumpul di lobi wisma tersebut sambil memegang kertas bertulis ‘Mogok lapar’.
Mereka rata-rata terdiri daripada kanak-kanak serta wanita dengan salah seorang daripadanya berkerusi roda.
Pada Oktober tahun lalu, tular insiden dua wanita warga Palestin melakukan kekecohan hanya kerana mahu meminta dihantar pulang ke Gaza.
Mereka berdua adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang di bawa ke negara ini pada 16 Ogos untuk menerima rawatan perubatan berikutan serangan Israel ke atas Gaza. – MalaysiaGazette
Ohhhh… nak balik cepat ke? Eh, OK je. Balik lah. Balik. Hantar balik cepat