KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu mengingatkan supaya jangan ada pihak yang menangguk di air yang keruh dan cuba melaga-lagakan pemimpin partinya dalam isu titah adendum Datuk Seri Najib Razak.
Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, peringatan itu ditujukan kepada golongan ‘luar kepompong UMNO’ yang kini didakwa ‘bagai membajak di tanah milik orang’.
”Kononnya mereka yang terpaling Najib Razak. Cukuplah Najib difitnah, dicaci maki dan ’dibogelkan’ imejnya oleh kamu sebelum 2018!
“Dosa itu tidak terampun dengan berdemonstrasi tetapi memohon maaf terhadapnya lebih dituntut agama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tengku Haphiz berkata, kepimpinan partinya percaya kerajaan sedia mendengar suara rakyat, lebih-lebih lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menerima nasib seperti Najib Razak.
Beliau pastinya memahami kecintaan para penyokong terhadap susuk tubuh pimpinannya.
”Andai dapat melihat sekejap sahaja Najib, cukup menghilangkan rindu rakyat terhadapnya.
”Percayalah, andai PMX berlembut sedikit buat kami esok, untuk berjumpa Najib Razak seketika, tanpa ada sekatan dan ugutan pasti benci menjadi kasih, dendam menjadi sopan, perpecahan menjadi perpaduan,” katanya lagi.
Sebelum ini UMNO telah mengeluarkan kenyataan rasmi menjunjung titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong.
”Prinsip ini kekal dilaksanakan parti sebagaimana ketika pembentukan kerajaan Malaysia hari ini. Malahan hikmah ketaatan ini jua, telah membongkar tafsiran-tafsiran songsang sewaktu perintah darurat kerajaan Tan Sri Muhyidin Yassin pada 2021,” kata Tengku Haphiz.
Selain itu, katanya, beberapa konflik politik dan agama yang berlaku di dalam negara dapat diredakan dan ditangani apabila UMNO mengekalkan prinsip yang sama.
”Pada esok suatu peristiwa besar negara bakal berlaku. Bukan kerana himpunan mega menyokong Najib tetapi pendengaran keputusan perihal titah addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.
”Malahan keputusan esok tidak mengurangkan langsung hukuman penjara Najib Razak cuma pengubahan bentuk hukuman bakal terlaksana,” katanya.
Tengku Haphiz juga menyeru agar menjadikan Solidariti Najib bukan himpunan membenci dan memaki hamun tetapi jadikanlah ia sebagai representasi roh keadilan dan kesepakatan dalam erti Malaysia yang sebenar.
Pada esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum menyokong permohonan itu. – MalaysaiGazette