BANGI – Timbalan Perdana Menteri menyarankan operator makanan dan pengendali kafe di semua kampus universiti awam (UA) menyediakan menu seimbang kepada pelajar agar mereka mendapat nutrisi yang lengkap.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihati golongan itu agar tidak memikirkan keuntungan semata-mata kerana keberkatan lebih penting apabila pelanggan berpuas hati dengan kualiti dan harga makanan.
Beliau turut berharap inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan sebelum ini dapat diteruskan oleh semua UA di seluruh negara.
“Tentunya perkara pertama adalah memastikan makanan disediakan bukan sahaja enak dan mengenyangkan tetapi turut memberi manfaat kesihatan kepada pelanggan.
“Saya harap bukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sahaja menyediakan Menu Rahmah malah kampus lain turut meneruskan inisiatif ini.
“Ini adalah barakah termasuk doa pelanggan terhadap kualiti makanan dan harga munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian jetika berucap merasmikan Kuali Cafe @ UKM di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut meminta agar semua operator makanan dan pengendali kafe di UA sentiasa mengamal pendekatan mesra kepada pelanggan sepanjang masa.
Jelas beliau, semua pelanggan perlu dilayan sama rata bukan hanya kehadiran orang kenamaaan.
Pada masa sama, tegasnya, aspek pengurusan sisa makanan terbaik perlu diutamakan agar tidak menjejaskan alam sekitar.
Sementara itu, Mohd Ekhwan memberitahu, pembukaan Kuali Cafe@UKM telah melengkapkan lagi rejuvenasi PUSANIKA UKM sebagai destinasi yang akan menyatukan cita rasa semua warga universiti dengan kepelbagaian sajian yang menarik dan lazat.
Kata beliau, Kuali Cafe@UKM akan menyediakan jenis lauk pauk masakan Melayu berkonsepkan continental dan comfort food sesuai dengan selera masyarakat Malaysia dan juga antarabangsa.
“Selain daripada kepelbagaian sajian, saya dimaklumkan satu keistimewaan Kuali Cafe@UKM yang amat dinantikan oleh semua warga UKM terutamanya dari kalangan pelajar-pelajar kerana Menu Rahmah dengan harga serendah RM3.
“Kuali Cafe juga beriltizam memberikan kualiti makanan dan produk yang terbaik dengan harga yang berpatutan sesuai dengan demografi warga kampus yang terdiri dari pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi.
“Pada masa sama, pengendali cafe juga tidak akan meminggirkan pelajar B40 yang berkeperluan khas untuk menerima bantuan makanan dan perbincangan kerjasama selanjutnya akan diselaraskan,” katanya. – MalaysiaGazette