KUALA LUMPUR – Musim jendela perpindahan antarabangsa yang baru dibuka buat negara-negara lain kini mencari perhatian apabila nama pemain negara dikaitkan dengan kelab luar negara.
Spekulasi timbul apabila bintang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi buruan kelab Iran iaitu Persepolis FC.
Memetik laporan Bartarinha, penganalisis dan jurulatih Persepolis mula memantau penyerang sayap kanan kebangsaan itu di laman Instagram sebelum ini.
Persepolis yang merupakan naib juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 berminat untuk membawa masuk Arif Aiman bagi menggantikan khidmat penyerang sayap mereka iaitu Saeid Sadeghi yang akan mencari angin baharu pada musim depan.
Malah penyokong Persepolis dilaporkan setuju kerana mahu melihat gandingan Arif Aiman dengan penyerang sayap kiri mereka, Oston Oronov.
Ini bukan kali pertama nama Arif Aiman meniti di bibir penyokong Persepolis apabila pada Julai lepas terdapat perkhabaran mengaitkan pemain itu dengan pasukan gergasi tersebut.
Reputasi dan kredibiliti bintang Harimau Malaya itu semakin bersinar di pentas Asia.
Musim ini, pemain berusia 22 tahun berkenaan merekodkan 15 gol dan lapan bantuan jaringan dalam semua pertandingan termasuk empat gol di peringkat Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Statistik berkenaan dijangka terus meningkat memandangkan dia akan terus menjadi watak utama Hector Bidoglio dalam misi skuad Harimau Selatan untuk terus memenuhkan kabinet trofi mereka.
Bagaimanapun, Persepolis perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menebus kontrak Arif Aiman susulan pemain berkenaan sudah menandatangani kontrak lanjutan sehingga tahun 2028 bersama JDT.
Kontrak tersebut membuatkan kelab-kelab gergasi Asia termasuk dari Korea Selatan mahupun Jepun yang sebelum ini berhasrat memancing bintang Arif Aiman tidak kesampaian. – Agensi