Kapal induk tentera laut USS Carl Vinson dan kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) lain yang berlabuh di Pelabuhan Kelang, 29 Disember lalu.

KUALA LUMPUR – Gabungan 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan yang disifatkan mengambil sikap ‘berurusan-seperti-biasa’ dengan tentera Amerika Syarikat (AS) di sebalik kelantangan membela pembunuhan rakyat Palestin.

Ia susulan keputusan kerajaan membenarkan kapal induk tentera laut USS Carl Vinson dan kapal tentera laut AS yang lain berlabuh di Pelabuhan Kelang, 29 Disember lalu.

Gabungan NGO itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan kerajaan tersebut seolah-olah memberi isyarat yang jelas bahawa sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin tidak perlu dipandang serius oleh AS.

Tambahnya, ia juga memberi isyarat bahawa tentera mana-mana negara yang dengan berani melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan membolehkan penyembelihan kejam oleh Israel terhadap rakyat Palestin, masih dialu-alukan oleh kerajaan Malaysia.

“Pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap ribuan rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang awam oleh tentera Israel di Gaza hanya boleh berlaku dengan kerjasama dan sokongan aktif kerajaan dan tentera AS,” demikian menurut kenyaatan itu semalam.

Antara NGO yang bersama-sama dalam gabungan itu termasuk Aliran; International Movement for a Just World (Just); Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia; Palestine Centre of Excellence (Pace); Viva Palestina Malaysia (VPM) dan banyak lagi.

Sehubungan itu, gabungan NGO berkenaan menyeru kerajaan Malaysia untuk segera mengamalkan konsistensi dalam dasarnya ke arah perjuangan rakyat Palestin yang adil dan sah.

Tambahnya, kerajaan Malaysia juga perlu memaklumkan kepada kerajaan AS bahawa selepas ini, tiada satu pun kapal dan aset tenteranya dialu-alukan untuk melawat perairan negara, sehingga dan melainkan AS menghentikan keterlibatan aktifnya dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Ketibaan kapal induk tentera laut USS Carl Vinson pada 29 Disember lalu itu menandakan hubungan dan kerjasama komprehensif selama 10 tahun antara kedua-dua negara yang disambut tahun ini.

Ia juga merupakan lanjutan daripada ketibaan kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln (CVN 72) yang berlabuh di Malaysia November lalu, iaitu untuk lawatan pelabuhan berjadual kedua semasa penugasan kapal tersebut bagi tahun 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here