KUALA LUMPUR – Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada dibenar atau sebaliknya untuk mencabar kewujudan titah adendum, akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya esok.
Bekas Perdana Menteri memohon kebenaran untuk mencabar titah berkenaan bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Najib, 71, juga akan mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah berkenaan bagi menyokong kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakannya.
Prosiding sebelum ini didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Jika rayuan dibenarkan, koram berkenaan akan mengembalikan semakan kehakiman itu ke Mahkamah Tinggi agar meritnya diputuskan oleh hakim yang akan mendengarnya.
Sebaliknya, jika rayuan ditolak, Najib mempunyai satu lagi peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau perlu memohon kebenaran merayu dengan mengemukakan persoalan undang-undang yang belum pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak bagi menyokong permohonannya.
Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam satu sesi Town Hall semalam berkata, sebarang keputusan esok tidak akan menentukan kesahan titah berkenaan.
“Isnin ini bukan soal titah itu sah atau tidak kerana ia masih pada tahap kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman. Jika rayuan dibenarkan, merit semakan kehakiman akan didengar di Mahkamah Tinggi.
“Ini bukan soal Najib. Tapi ini soal Perlembagaan yang berkaitan tatakelola,” ujar beliau pada Town Hall Rakyat `Mencari Kebenaran’ berkaitan isu `Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan’ di sini, lewat petang semalam.
Najib, 71, merayu ke Mahkamah Rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakimannya untuk mencabar kewujudan titah adendum.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lalu, Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib memohon perintah mandamus bagi memaksa, sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari 2024.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di sini untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. – MalaysiaGazette