KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) menghasilkan aplikasi Smart eQIAS bagi mengatasi masalah yang berlaku di Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPAK) iaitu tadika dan taska.
Menurut pengkajinya, Prof Madya Dr Siti Noor Ismail, aplikasi yang dihasilkan dapat mengenal pasti PPAK yang beroperasi secara tidak sah atau tidak berdaftar dengan pihak berwajib.
Katanya, dengan aplikasi itu sudah tentu kecuaian pengasuh sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian bayi dapat dikawal seperti yang dipaparkan di media hari ini.
“Melalui eQIAS ini juga pastinya penambahbaikan dapat dilakukan termasuk amalan kualiti dan juga memantau perkembangan di PPAK dengan mudah dan cepat,’” katanya yang juga Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC) UUM.
Memandangkan tidak ada alat ukur kualiti yang seragam untuk digunakan oleh semua PPAK di Malaysia dan menyukarkan ibu bapa khususnya mengakses maklumat tentang PPAK maka eQIAS direka dengan ciri-ciri mudah, cepat dan tepat .
Antara fungsi utama Smart eQIAS adalah pengukuran dan Pemantauan Tahap Amalan Kualiti di semua PPAK di negara ini dengan mudah, cepat, tepat dan menggalakkan konsep Ecogreen serta tidak perlu menggunakan kertas lagi.
Bagi penarafan pula aplikasi itu dapat menilai tahap amalan kualiti yang mereka lakukan setiap hari berdasarkan bilangan star yang diperlolehi apabila mereka menjawab instrument pengukuran yang telah ditetapkan oleh eQIAS samada adalah sangat memuaskan, memuaskan, kurang memuaskan dan tidak memuaskan.
Aplikasi juga akan menjejak mana-mana PPAK yang masih tidak berdaftar pengoperasian mereka menerusi fungsi Geotagging. – MalaysiaGazette