KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan orang ramai yang menyertai himpunan di Istana Kehakiman Putrajaya esok, tidak boleh dianggap sebagai menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana, kata Ahli Parlimen kerajaan itu, Malaysia merupakan sebuah negara demokratik, bukannya sebuah negara feudal mutlak.
Ujarnya, hak orang ramai untuk berhimpun untuk menyatakan solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu juga dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang secara terang menyatakan semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
Jelas beliau, kenyataan Istana Negara Jumaat lalu juga tidak tidak membatalkan hak rakyat untuk berhimpun seperti disebut di bawah Perkara 10(1)(b) tersebut.
“Perlu dijelaskan bahawa undang-undang yang tertinggi dipakai di negara kita Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana Negara.
“Hal ini bersesuaian dengan dasar negara kita Malaysia yang urusan kenegaraannya berteraskan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
“Ini diperkuatkan lagi dengan prinsip Malaysia mengamalkan dasar demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, di mana kuasa rakyat dan kuasa raja bergerak harmoni dan seimbang,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Tambah Hassan, walaupun beliau pernah menyatakan tidak bersetuju dengan rancangan himpunan solidariti Najib itu, namun ia hanya pandangan peribadinya yang tidak penting.
Jelasnya, pandangan peribadinya itu juga tidak boleh menafikan hak ahli keluarga Najib dan penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri itu dari seluruh negara termasuk ahli-ahli UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat biasa untuk berhimpun seperti dijamin oleh Perlembagaan.
“Syaratnya utama ada dua iaitu berhimpunlah secara aman dan tidak membawa senjata,” katanya.
Dalam masa sama, tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewajarnya menghayati semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memahami niat dan tujuan Parlimen pada 2012 semasa pentadbiran Najib menggubal Akta 736 iaitu untuk memudahkan rakyat berhimpun selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.
“Kepada sesiapa yang datang berhimpun esok 6 Januari 2025 secara aman di hadapan Mahkamah Rayuan maka rayakanlah dan nikmatilah hak anda yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette