Aidi Sham Mohamed.

KUALA LUMPUR – Polis akan melakukan beberapa sekatan jalan raya menghala ke Putrajaya susulan perhimpunan aman yang dirancang untuk diadakan esok.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, Aidi Sham Mohamed menegaskan, pihaknya akan membuat pemeriksaan ketat terhadap semua individu yang akan memasuki Putrajaya dalam usaha memastikan tiada bahan larangan seperti senjata atau sepanduk yang ada perkataan atau unsur-unsur jelik, hasutan berhubung dengan perhimpunan itu.

“Orang ramai dilarang untuk menyertai perhimpunan aman esok  di Putrajaya kerana perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran dari pemilik tanah sekaligus tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana orang yang menyertai perhimpunan tersebut kerana ia  melanggar undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar jangan hadir perhimpunan berkenaan.

Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya esok bagi menyatakan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  berhubung isu titah adendum.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ia kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin depan.

Ia kemudian disusuli kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang meminta orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.

Razarudin dipetik berkata, ia demi menghormati titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam urusan pengampunan itu, selain bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam

Isu pengampunan banduan mencetuskan perdebatan susulan kes membabitkan Najib terutama dalam soal berkaitan titah adendum untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan menjalani tahanan di rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here