KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 13 individu terdiri daripada 12 wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Polis Johor Bahru Selatan itu dijalankan dari pukul 8 malam hingga 2 pagi.
“Dalam operasi ini, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun, disyaki penjaga premis telah ditahan bersama 12 wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 38 tahun dipercayai bekerja sebagai pelayan tanpa permit sah.
“Pelbagai barangan dirampas sebagai bahan bukti termasuk sebuah buku catatan, tiga resit perniagaan, sebuah komputer riba, alat pengawal cahaya, sebuah mikrofon serta lima utas gelang tangan berlampu,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, menurut Raub, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek bebas daripada pengaruh dadah.
Lelaki tempatan berkenaan telah direman tiga hari bermula 5 hingga 7 Januari ini manakala 12 wanita warga asing direman 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau visa, dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor kerana menjalankan pusat hiburan tanpa lesen. – MalaysiaGazette